Jual beli, Pelaburan

MITOS HARTANAH

1. Rumah kos rendah mudah dimiliki oleh orang kaya

Rumah kos rendah tertakluk di bawah syarat yang ketat. Pembelian dan penjualan memerlukan mereka yang benar-benar layak untuk membelinya. Semua kelulusan dikawal selia oleh pihak Kerajaan Negeri. Jadi hanya mereka yang benar-benar layak akan diterima untuk membelinya.

Orang kaya, lebih mudah bagi mereka untuk membeli hartanah yang memberikan ROI jutaan ringgit berbanding hartanah kos rendah, yang hanya boleh dijual setelah 5 tahun. Orang kaya tidak akan tunggu lama untuk membuat wang. Jadi lebih baik mereka tumpukan pada hartanah yang tiada sekatan berbanding yang mempunyai sekatan, yang tidak mungkin mereka dapat beli.

2. Ada duit, bolehlah saya beli rumah kos rendah dan rumah subsidi kerajaan banyak-banyak?

Rumah subsidi kerajaan seperti RUMAH SELANGORKU (RSK) dan rumah kos rendah hanya layak untuk mereka yang kali pertama membeli rumah. Bagi mereka yang kali kedua, tetapi ingin membeli rumah jenis ini, jangan mengharap anda diberi kelulusan dengan mudah. Pihak kerajaan akan menapis terlebih dahuluu, kemudian barulah anda diberi keputusan sama ada layak atau tidak.

3. Kalau beli rumah leasehold akan rugi nanti?

Tiada istilah beli leasehold akan rugi. Apa jenis tanah sekalipun, sekiranya tersalah beli, tetap akan rugi. Contoh rumah-rumah yang terbengkalai di Bukit Beruntung semuanya berstatus FREEHOLD.

Jadi itulah sebabnya saya katakan kesilapan pertama seseorang yang mencari rumah idamannya adalah mengelak mencari rumah berstatus leasehold. Untung atau rugi dalam hartanah, perlulah melalui penilaian yang teliti.

4. Harga rumah akan sentiasa naik, tak akan turun punyalah

Situasi dahulu dan sekarang memang dah tak sama. Apabila suatu kawasan terlebih pembangunan, terlalu banyak rumah yang dibina melebihi permintaan. Sebagai contoh Cyberjaya harga beli dahulu dan harga jual sekarang tidak menguntungkan. Malah ada yang menjual di bawah harga belian. Hanya sekadar mengelak daripada kerugian yang lebih besar. Jangan percaya jika ada yang mengaburi pemikiran anda untuk membeli rumah dengan jaminan harga akan naik.

5. Elok beli rumah sekarang, ada banyak cashback!

Cashback yang anda dapati itu bukanlah keuntungan sebenar anda. Ia juga bukan hadiah daripada pemaju. Sebenarnya harga yang anda bayar untuk rumah tersebut adalah harga pasaran masa hadapan. Pastinya anda tidak pelik harga yang dibeli 10 tahun lepas masih sama dengan tahun ini.

6. Sifu pun beli di kawasan ini, pastinya kawasan di bagus kan?

Boleh jadi sifu ini hanya mengaburi mata anda disebabkan dia telah berpakat dengan ejen dan pemaju. Boleh jadi dia ada wang yang banyak dan mampu beli di kawasan tersebut. Jika rugi, boleh jadi dia dah bersedia dengan jalan keluar. Anda yang tidak bersedia, pasti terkapai-kapai untuk langkah seterusnya.

7. Boleh ke saya beli rumah ni?

Layak ketika permohonan bukanlah menjamin anda layak sehingga bila-bila. Banyak sahaja rumah yang dilelong pada ketika ini, terhasil daripada mereka yang lulus pinjaman pada suatu masa dahulu.

8. Kalau dah beli, kan ada ejen untuk dapatkan penyewa?

Ramai yang termakan janji ejen bahawa kawasan tersebut mudah disewakan. Kalau tiada yang berminat untuk sewa, bagaimana ejen boleh memaksa mereka untuk masuk menyewa?

9. Rumah baru kualitinya pasti lebih baik!

Itu hanya anggapan kebanyakan orang. Tetapi realitinya tidak begitu. Ada sahaja bangunan baru yang cepat rosak. Rumah subsale pun adakalanya lebih baik kerana pemiliknya telah mengubahsuainya dengan rekaan terkini.

10. Kalau kalah lelongan, deposit tidak dipulangkan?

Kalah lelongan memang mengecewakan, tapi pelelong bukanlah zalim untuk menambah kekecewaan anda dengan mengambil wang deposit anda. Jangan bimbang, wang deposit anda akan dipulangkan kepada anda.

11. Rumah subsale mesti rumah buruk dan tiada kualiti?

Tiada jaminan kualiti rumah baru lebih bagus daripada rumah subsale. Tahukah anda rumah semakin sempit tapi harga makin mahal?

12. Beli rumah perlu ada orang dalam?

Kenapa perlu orang dalam? Kalau anda layak, tiada sebab untuk pihak bank menggagalkan permohonan anda. Semua kelulusan anda adalah satu keuntungan bagi pihak bank. Bagi yang tidak layak, semak semula rumah idaman anda, kemungkinan anda belum layak memilikinya. Carilah yang bersesuaian dengan poket anda. Kalau kurang pasti, boleh sahaja minta bantuan ejen hartanah untuk membantu anda.

Ok setakat ini sahaja buat kali ini. Banyak lagi mitos yang muncul lebih-lebih lagi dalam suasana pendemik. Kalau ada lain-lain, kongsikan dengan kami. Insy Allah kami akan paparkan di sini untuk tatapan semua.