UBAH SUAI RUMAH FLAT SEOLAH-OLAH RUMAH TERES
Suatu yang tidak disangka, rumah flat di Taman Datuk Harun diubahsuai secara melampau dengan alasan untuk menjadikan rumah mereka lebih luas. Rumah kos rendah sememangnya tidak luas dengan hanya 600 kaki persegi, bagi keluarga besar rumah kecil sebegini adalah sangat menyeksakan.
Menurut Badan Pengurusan Bersama (JMB) isu ini telah berlaku sejak lebih sedekad yang lalu tanpa sebarang tindakan diambil terhadap pelaku. Semua ubah suai ini dilakukan tanpa sebarang kelulusan pihak berkuasa. “Kami tidak dapat berbuat apa-apa sekarang ini” kata JMB.
Flat ini telah diambil alih daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada tahun 2009 dan kini diuruskan oleh Suruhanjaya Bangunan (Commissioner of Building (COB) pada tahun 2010.
Berdasarkan Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) dan Akta 133, semua kerja-kerja pengubahsuaian perlu mendapat kelulusan bertulis daripada pihak berkuasa tempatan terlebih dahulu.
Isu di sini bukanlah tidak mendapat kelulusan tetapi ingkar untuk menurut peraturan dan akta. Sebenarnya kita pun tahu unit berstrata tidak boleh ditambah sesuka hati, malah jika kertas permohonan diangkat sekalipun, tidak mungkin ia diluluskan kerana binaan seperti ini boleh memudaratkan pada masa akan datang malah menyusahkan semua pihak lain.
Bagi rumah tingkat bawah (atas tanah) mereka telah mengambil tanah yang bukan milik mereka. Ruang bawah yang sepatutnya boleh diguna secara bersama dengan penduduk lain kini dirampas dari orang lain. Tidakkah mereka tahu bahawa perbuatan ini boleh mendapat seksaan yang pedih di akhirat kelak.