Pelaburan

Tidak tahu ada akad baru simpanan Tabung Haji?

Korang tahu tak, apa akad lama dan apa akad baru? Korang setuju kah akad baru tu? Ye lah kan tiba-tiba tukar akad. Kita pun tak dimaklumkan secara bertulis dan bersurat.

Dulu akad wadiah iaitu wang simpanan yang diamanahkan kepada Tabung Haji untuk dijaga. Dividen yang diberi pula hanya atas dasar ihsan bukan kewajipan untuk bayar kepada kita.

Akad baru telah pun bermula sejak Januari 2020. Saya pun tidak tahu menahu tentang perkara ini. Ini pun saya tahu apabila saya ingin menulis artikel ini. TH mengatakan bahawa mana-mana orang yang mengekalkan deposit dalam akaun akan secara automatik dianggap telah bersetuju dengan akad baru iaitu wakalah. Tapi wakalah ni akad apa pula?

Wakalah bermaksud menyerahkan urusan untuk dilaksanakan oleh orang lain. Dalam konteks ini, kita telah bersetuju untuk mewakilkan kepada TH untuk melaburkan duit kita dengan instrumen yang patuh syariah.

Apa implikasi akad baru ini?

Tiada apa implikasi yang ketara dalam akad baru ini. Kalau dulu, kita simpan duit di TH, duit tu digunakan TH untuk menjalankan perniagaan dan pelaburan, dan keuntungannya dibahagikan kepada semua pendeposit mengikut bahagian yang ditetapkan oleh TH. Kalau sekarang pun sama duit itu tetap dilaburkan oleh TH sebagaimana tahun-tahun dahulu.

Yang penting, semua duit dalam TH tu adalah milik kita. TH hanya sebagai agensi pengurus dana yang terkumpul daripada semua kita.

Dalam konsep wakalah, pihak yang diwakilkan tidak mempunyai apa-apa kuasa atas harta tuan punya selain daripada kuasa yang diberikan kepadanya. Kuasa yang amat terhad. Sebagai contoh, kita minta Ahmad belikan barangan dapur yang disenaraikan, di kedai. Ahmad hanya boleh membelanjakan duit itu berdasarkan kebenaran yang diberikan oleh tuan punya harta.

Dan kalau pula kita wakilkan Ahmad untuk jualkan barangan kita, kita tahu semua wang jualan itu adalah milik kita sama ada modal atau wang untung. Ahmad hanya berhak mengambil upah berdasarkan perjanjian di antara tuan punya dan dirinya. Tidak boleh mengambil lebih daripada itu.

Dalam kes kita dengan TH ini, di sini terdapat kesamaran yang belum dapat diketahui. Dalam carian saya di laman web TH saya belum jumpa keterangan lengkap berkenaan akad wakalah ini. Diharap pada masa akan datang, keterangan ini dapat dikongsikan bersama dengan para pembaca sekalian. Semua ini supaya tiada lagi keraguan dalam dada-dada pendeposit yang telah memberikan kepercayaan kepada TH.