PENGALAMAN BUAT SENDIRI LOAN DI BANK
Masa ni zaman baru berkecimpung dalam bidang hartanah, haha, bukan sebab jadi ejen hartanah. Tapi sebab melihat peluang buat duit dengan membeli rumah lelong. Ni pun selepas membaca blog Abang Ensem, Tuan Bri dan Pie2020 yang menceritakan pengalaman mereka masuk bidaan untuk diri sendiri dan untuk klien mereka. Rasa tertarik dengan penerangan mereka, saya terus menghubungi untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Dipendekkan cerita, saya berjaya beli rumah lelong yang pertama pada tahun 2009. Masa tu dapat harga simpanan sebab takde orang berani masuk. Sebabnya kawasan rumah tu kawasan banjir. Ulat-ulat di situ bagi warning jangan beli sebab kawasan banjir. Tapi disebabkan saya bukan orang kawasan tu, saya main redah je la beli. Banjir tak banjir. Alhamdulillah dapat harga RM59,000 untuk sebuah rumah teres.
Rumah ni terjaga maksud saya semua tingkap, pintu, wiring dan lain-lain, masih terpasang lengkap. Ada di sesetengah tempat, rumah macam sarang penagih dan tongkang pecah. Yang saya dapat ni -Alhamdulillah- dah boleh masuk terus duduk. Kalau nak repair pun, cat dinding kasi ceria je lah.
Lepas dapat POS yang ditandatangani oleh peguam lelongan saya terus pergi ke beberapa bank untuk buat loan. Saya ingat lagi saya pergi ke Dayabumi untuk buat loan. Kali pertama datang, saya jumpa akak di kaunter dan terus dirujukkan ke pegawai untuk urusan pembiayaan rumah. Masa tu “Whatsap, telegram” belum ada lagi dik. Tak sampai Malaysia lagi. Yang ni saya ke CIMB.
Saya dapat loan dari bank RHB dengan rate pada masa tu 3.4%. Entah macamana saya dapat rate rendah. Hinggakan akak kaunter tu bagitau yang staf pun tak akan dapat rate yang saya dapat. “Saya terdiam sebab tak tahu nak cakap apa. Clueless”. Rate pada masa tu 4.5% dan ke atas kalau tak silap saya.
CIMB ada hubungi saya untuk memaklumkan loan saya dah lulus, tapi saya bagitau untuk tunggu beberapa hari sebelum saya boleh beri jawapan terima atau tidak. Sebabnya saya sedang tunggu jawapan dari pada RHB. Ya saya pilih RHB.
Berkenaan dengan rate ni, saya tak kisah sangat sebabnya untuk rumah lelong, saya kena kejar masa. Hanya 120 hari diberikan untuk selesaikan semua urusan.
Sejak saya menang lelongan hinggalah urusan selesai, saya banyak kali tidur tidak lena disebabkan banyak ketidakpastian berkenaan urusan lelong ni. Dengan pembiayaan bank, perjanjian pembiayaan, pertukaran nama di pej Tanah, ini semualah yang menyebabkan hidup agak tidak keruan untuk tempoh 4 bulan tersebut.
Sebenarnya asal posting ni nak cerita pasal saya buat loan, tapi tercerita banyak pasal rumah lelong pulak. Tapi tulah, kalau nak buat loan tak perlu pergi sendiri ke mana-mana cawangan bank, gunakan khidmat Morgage Banker. Kalaulah saya pada masa tu, tahu pasal benda ni, takde lah saya nak turun pergi bank. Nak kena hadap jem, cari parking dan maca-macam yang membuang masa dan tenaga.
Saya sendiri pada ketika ini (2023) akan gunakan morgage banker untuk semua urusan loan saya. Lebih mudah, kepala pun tidak pening. Tahu-tahu loan dah lulus. Syukur alhamdulillah.