Jual beli, Kewangan

Beza MLTT dan MRTT

Pengalaman saya dalam membeli rumah, ada yang saya gunakan MRTT dan ada yang MLTT. Untuk MLTT ini saya bayar secara bulanan sehingga tempoh matang dan boleh menebus wang yang disimpan beserta untung. Rumah yang di Klang saya beli dengan harta RM250,000.00 saya ambil MLTT dengan bayaran bulanan sebanyak RM123.00 selama 30 tahun. Jumlah yang dibayar adalah RM44,280.

Kalau korang nak tahu, semua duit yang saya sumbang tiap-tiap bulan ini sebahagiannya dilaburkan oleh syarikat takaful untuk mendapatkan keuntungan. Saya telah mula mengambil MLTT ini sejak tahun April 2017 dan kini tahun ke-5 simpanan yang saya miliki telah terjumlah sebanyak RM4,000 lebih. Saya anggarkan setahun RM1,000 pulangan jika 30 tahun dianggarkan lebih dari RM30,000 wang yang dikembalikan kepada saya.

Disamping itu, manfaat perlindungan sebanyak RM250,000 valid sehingga tempoh matang tersebut. Misalannya saya meninggalkan pada tahun yang ke-15, waris saya akan dapat RM250,000 ditambah dengan wang pokok pelaburan yang dimiliki. Pada ketika itu juga ansuran rumah telah tinggal setahun lagi sebelum tamat. Dengan wang pampasan RM250,000 tentunya tidak menjadi masalah kepada isteri saya untuk menyelesaikan baki hutang saya.

Katakan baki hutang pada ketika itu, hanya RM150,000.00 setelah ditolak hutang, baki di tangan isteri saya lebih kurang RM100,000.00.

Lagi satu kelebihan MLTT ni ialah kalau saya dah jual rumah di Klang ni, manfaatnya masih boleh diteruskan kepada rumah lain. Kalau jual dan beli rumah lain dengan harga RM300,000.00 saya hanya perlu tambah perlindungan sebanyak RM50,000.00 sahaja. Ya betul, bayaran bulanan juga akan bertambah sedikit.

MRTT

Untuk rumah saya yang di Kajang pula saya memilih MRTT kerana terikat dengan syarat LPPSA yang mewajibkan semua pemohon biaya untuk mengambil MRTT. Disebabkan umur saya yang telah menjangkau 40an kadar MRTT yang saya perlu bayar secara lump-sum adalah RM40,000.00. Maka setelah dicampur dengan harga rumah RM330,000 + RM40,000.00 jadilah harga rumah RM370,000. Orang lain bayar ansuran hanya RM1,500.00 lebih kurang, saya pula perlu membayar RM1,700 sebulan.

Jika saya meninggal pada tahun yang ke-15, hutang rumah akan diselesaikan oleh syarikat takaful. Isteri saya tidak perlu membayar apa-apa baki hutang rumah. Rumah terus menjadi hakmilik setelah proses tukar nama dilakukan. Akan tetapi, tiada wang tunai dapat dinikmati oleh isteri saya.

Kekangan

Pemilihan antara MLTT dan MRTT merupakan satu dilema kepada orang muda yang baru nak membeli rumah. Ketika saya membuat pembiayaan rumah di Klang, saya tidak diminta oleh bank untuk mengambil MRTT. Saya dimaklumkan saya tidak perlu mengambilnya. Mungkin disebabkan rekod saya sebelum ini, yang setiap beberapa tahun, rumah tadi akan dijual.

Tetapi disebabkan saya nak juga perlindungan untuk rumah saya, saya telah memilih MLTT. Ini pun saya telah mendapatkan penjelasan daripada ejen takaful agar saya dapat membuat keputusan dengan lebih jelas.

Orang muda yang baru nak beli rumah kebiasaannya tidak mahu pening kepala dan ingin semua urusan berjalan dengan lancar dan mudah. Jadi MRTT lah pilihan kebanyakan orang.

Lagi satu MLTT memerlukan anda istiqomah setiap bulan untuk membayarnya. Ini pun satu sebab ia kurang menjadi pilihan. Leceh katanya tiap bulan nak bayar. Tetapi tidak saya, saya telah melihat kebaikannya pada hujung caruman kelak. Manfaat untuk saya dan waris saya.

MLTTMRTT
Bayaran setiap bulanBayaran lump-sum
Boleh diwariskanTidak boleh diwariskan
Ada tempoh matangTiada tempoh matang
Tidak boleh miss bayarTidak berkaitan
Jumlah perlindungan kekalJumlah perlindungan berkurang
Pulangan RM40,000 setelah tamat tempohTiada pulangan tunai

Kesimpulan

Pastikan korang pilih ikut kemampuan dan habit pembayaran. Saya telah buat kedua-dua pilihan pada rumah yang berlainan. Dua-dua ada kebaikan dan kekurangan. Nak tahu lebih lanjut boleh juga hubungi saya.