LUAH KP KKM: RAMAI TIPU DIRI SENDIRI TAPI SALAHKAN KKM
‘Ramai tipu diri sendiri, akhirnya KKM juga dipersalahkan’
Astro AWANI
Mei 23, 2021
KUALA LUMPUR: Orang ramai perlu menyedari tanggungjawab besar yang digalas untuk menang dalam peperangan melawan COVID-19.
Namun melaksanakan tanggungjawab itu tidak mudah jika mereka tidak melihat diri sendiri dan berhenti menyalahkan orang lain.
Menerusi satu entri di Facebook, Kementerian Kesihatan Malaysia berkongsi luahan Pakar Perunding Perubatan Kecemasan & Trauma, Dr Alzamani Mohammad Idrose yang mahu seluruh anggota masyarakat memegang erat peranan masing-masing, sekaligus memastikan misi itu berjaya.
“Yang senyap-senyap inilah menyebabkan angka senyap-senyap naik.
Sebaliknya, yang dalam senyap mematuhi SOP dengan sempurna adalah wira sebenar yang tak didendang. Anda sendiri sahaja yang tahu dalam kumpulan mana anda tergolong,” katanya.
Lebih mengecewakan, apabila ada sesetengah pihak yang hanya tahu bercakap dan mengarah itu dan ini, tetapi tidak sedar atau memahami apa yang berlaku.
“Dalam keadaan petugas kesihatan bertungkus-lumus di hospital merawat ledakan kes COVID, anda boleh bercekak pinggang berkata,’ Bukalah katil lebih. Tambah jer lah katil ICU!’
“Malangnya katil ICU bukan katil yang dibeli di kedai perabot. Ada staf ramai, peralatan jutaan ringgit, kemahiran mengendaikan pesakit dan banyak aspek lain yang sukar.
“Ramai yang menipu diri sendiri dengan SOP yang ke laut bila berziarah senyap-senyap, rentas sempadan di jalan tikus, beraya senyap-senyap, makan dekat-dekat di asrama dan tempat kerja.
“KKM dituduh tipu data dan semuanya salah KKM,” tambahnya.
Ujar Dr Alzamani lagi, perjuangan rakyat Malaysia tidak sesukar mana kerana apa yang diperlukan petugas barisan hadapan kini ialah perkara yang sama sudah diulang sejak setahun lalu.
“Pakai mask dan jauhilah manusia. Amalkan SOP ‘tanpa ruang bolos’ sedikitpun. Anggap semua ada COVID. Satu meter adalah jarak ‘keramat’.
“Kalau anda selebriti atau pemimpin, tunjuklah contoh yang baik dengan mematuhi SOP kerana impaknya besar untuk menyatukan rakyat.
“Dan kalau selebriti dan pemimpin tidak boleh diharap untuk berperanan seperti yang diimpikan, janganlah pula anda mengikut mereka, kerana harganya dibayar oleh anda dan keluarga anda,” katanya lagi.
Beliau juga meminta orang ramai agar jangan terpedaya dengan dakyah pihak tidak bertanggungjawab dan menyebarkan khabar angin tentang vaksin.
“Mereka (antivaksin) yang mengikut telunjuk syaitan dan mahukan anda atau keluarga anda mati sambil produk jualan mereka anda beli.
“Jika 80% kita sudah divaksin, kita ada imuniti masyarakat. Tahun depan boleh raya, malah jika semua bagus, boleh buka mask seperti di sesetengah negara yang siap divaksin.
“Peranan anda dalam menentukan menang atau kalahnya perang ini teramat
besar. Untuk menentukan sama ada ‘bas’ terus masuk gaung setiap hari atau tidak,” katanya