Kewangan

CAJ KERETA ELEKTRIK SEKALI PENGECASAN?

Pertanyaan wajib yang biasa orang tanya sebelum membeli kereta elektrik ialah “berapa jauh boleh pergi?”. Ini adalah soalan yang salah, kerana jarak adalah sangat bergantung kepada cara pemanduan seseorang. Semakin ganas gaya pemanduan, semakin dekat jarak yang boleh dipandu.

Soalan yang sepatutnya kita tanya ialah “berapa kapasiti bateri kereta ini?” Dengan pengetahuan ini, kita dapat menganggar jarak yang boleh ia pergi. Semakin besar kapasiti, semakin jauh kenderaan anda boleh bergerak.

Beberapa kenderaan elektrik beserta kapasiti dalam pasaran

  • Tesla Model 3 / 80.5 kWh
  • Tesla Model S / 98.5 kWh
  • BMW iX xDrive50 / 105.2 kWh
  • GMC Hummer EV Pickup Edition 1 / 212 kWh

Sekiranya pengecasan di rumah, tentunya kita tidak kisah kerana bayaran elektrik rumah adalah pada kadar domestik iaitu 21.8 sen setiap kWh setiap 200 kWh pertama setiap bulan. Tetapi pengecasan di rumah adalah lambat dan makan masa berhari-hari sebelum bateri penuh.

Begitu juga dengan mereka yang tinggal di apartment dan kondo mereka ingin juga mengecas tetapi sukar dilakukan jika tidak disediakan oleh pihak pengurusan bangunan.

Jadi kebanyakan orang akan memilih untuk mengecas di pusat-pusat pengecasan yang terletak di kawasan-kawasan tertentu yang mungkin jauh dari kawasan rumah. Kos pengecasan adalah bergantung harga per Kwh yang ditawarkan oleh penyedia.

Kadar yang dikenakan oleh TNB Electron ialah bermula 2.05 seminit pada kelajuan 80kW. Jika ingin yang lebih laju RM2.35 seminit (100 kW).

Cara pengiraan

Katakan kereta anda Tesla Model 3 berkapasiti 80.5 kWh, anda pilih pengecas RM2.35/minit (100kw) jumlah yang perlu anda bayar ialah

80.5 kWh x (RM2.35 x 60 minit) ÷ 100 kWh = RM113.50

kadar bagi tesla model 3

Kos pengecasan ini adalah melebihi kadar biasa kenderaan di Malaysia. Akan tetapi bagi mereka yang telah memiliki TESLA contohnya tentunya merasakan kos RM113.50 yang boleh dikatakan masuk akal dan berbaloi. Pun begitu mereka perlu berada di stesen selama 48 minit sebelum bateri mereka penuh. Bagi yang tidak ingin waktu menunggu yang lama, anda tidak berseorangan kerana saya juga amat gelisah sekiranya terpaksa duduk menunggu tanpa boleh pergi ke mana destinasi yang sepatutnya dituju.

Kesimpulan

Kereta elektrik lebih mahal daripada kenderaan petrol atau diesel, itu tidak dapat dinafikan oleh sesiapa terutama di Malaysia. Malah kos pengecasan juga tidak semurah yang disangka. Jika dicaj di rumah, tidak mengapa, kerana kadar domestik sahaja dikenakan oleh TNB. Dengan RM2.00 untuk setiap minit, mungkin lebih baik saya kekal untuk menggunakan kenderaan petrol. Dan kalau nak mencuba-cuba, saya akan cuba kenderaan hibrid dahulu.

Apa-pun Malaysia masih memerlukan perjalanan yang jauh dalam hal kenderaan elektrik ini. Usaha ke arah kelestarian alam boleh dilakukan tetapi masa yang lama diperlukan untuk memastikan pertamanya pendapatan rakyat lebih tinggi berbanding sekarang. Kadar mata wang perlu lebih stabil dan banyak lagi yang perlu diambil kira sebelum elektrik boleh menjadi keutamaan di sisi majoriti rakyat di Malaysia.