Jual beli

BOLEHKAH JUAL RUMAH PPAM SELEPAS 3 TAHUN

Bolehkah menjual rumah PPAM sebelum tamat tempoh moratorium?

Saya ingin bertanya, kawan saya telah membeli rumah PPAM, di mana dalam SNP tertulis 10 tahun moratorium. Difahami ianya tidak boleh dijual dalam masa 10 tahun. Tetapi kawan saya baru 3 tahun membelinya. Bolehkah penjualan dilakukan?

APA ITU MORATORIUM?

Satu tempoh penangguhan yang sah dari segi undang-undang sama ada dilakukan oleh pihak kerajaan and pihak-pihak lain yang diberi kuasa. Tempoh larangan penjualan ditetapkan oleh pihak kerajaan semasa pembelian rumah PPAM adalah selama tempoh 10 tahun bermula dari tarikh tandatangan SNP.

BOLEHKAH IA DIJUAL DALAM TEMPOH MORATORIUM?

Pertama anda perlu tahu bahawa projek PPAM adalah di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Segala pembelian dan penjualan perlu mendapat keizinan dan kelulusan daripada KPKT. Penjual perlu membuat rayuan untuk penjualan rumah tersebut dengan disertakan alasan yang kukuh. Surat kebenaran akan dikeluarkan setelah kelulusan diberikan. Setelah itu penjualan boleh diteruskan.

Saya pernah menguruskan penjualan rumah PPAM yang baru menerima kunci daripada pemaju. Sebagaimana yang disebutkan di atas, penjual telah mendapatkan surat kebenaran untuk menjual rumahnya daripada KPKT.

KPKT telah meletakkan beberapa syarat seperti:

  1. Harga jualan perlu lebih tinggi daripada harga beli: Dalam kes ini, pemilik telah membelinya pada harga RM260,000 dan ingin menjualnya pada harga RM320,000. Jadi tidak ada isu dalam penjualan rumah ini dari sudut harga.
  2. Perlu menjualnya kepada penjawat awam sahaja: Telah ada beberapa orang yang melihat rumah ini untuk membelinya. Mereka juga tertanya-tanya adakah mereka boleh membeli rumah PPAM ini? Saya nyatakan boleh beli kerana kelulusan jualan telah diperolehi oleh penjual. Mujur setelah semakan, pembelinya adalah seorang penjawat awam. Jadi proses penjualan boleh dilakukan walaupun pada asalnya tidak boleh dilakukan.

APA ALASAN OWNER SEHINGGA KPKT MEMBERI KELULUSAN?

Pemilik merupakan seorang cikgu di sebuah sekolah di Putrajaya. Semasa awal pembelian memang beliau menjangkakan akan duduk di sana selepas mendapat kunci. Tetapi disebabkan perkara tidak dapat dielakkan beliau terpaksa berhenti daripada perkhidmatan awam.

Mungkin anda bertanya mengapa perlu berhenti kerja? Beliau telah menyambung pelajaran secara sepenuh masa di sebuah universiti dengan biasiswa penuh ditanggung oleh universiti tersebut namun dengan syarat tidak terikat dengan mana-mana pihak lain seperti majikan dan lain-lain. Jadi demi meneruskan cita-cita, beliau memilih untuk berhenti kerja.

Isu sebenar yang dihadapi oleh pemilik adalah LPPSA memberikan tempoh 60 hari sahaja kepada pemilik untuk menyelesaikan baki hutang setelah berhenti dari perkhidmatan awam. Jika tidak, pemilik perlu membayar harga penuh ansuran bulanan iaitu dengan kadar keuntungan LPPSA 7% setiap bulan.

Perkara ini akan membebankan kerana setelah berhenti kerja tiada sumber untuk membayar ansuran bulanan yang tinggi tersebut.

Dipendekkan cerita, semasa kisah ini ditulis di sini, urusan jual beli tersebut telah pun selesai. Pembeli telah pun mendapat kunci, tuan rumah pun dah berjaya melepaskan pegangan rumah tersebut.